Friday, May 1, 2009

PAS Gombak Calon Husam Sebagai Timbalan Presiden

Perwakilan muktamar PAS Kawasan Gombak hari ini mencalonkan YB Dato’ Husam Musa untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS di dalam Muktamar Tahunan PAS akan datang.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, PAS Gombak mencalonkan YB Dr Hatta Ramli, YB Salehuddin Ayub dan YB Dato’ Sri Nizar Jamaluddin.

Muktamar itu turut menyaksikan transformasi peralihan kuasa Yang Di-Pertua (YDP) PAS Kawasan Gombak (PKG) daripada YB Dr Hatta Ramli kepada Ustaz Salehuddin Nasir.

YB Dr Hatta Ramli memegang jawatan YDP PAS Gombak selama 6 tahun semenjak mengambil alih jawatan itu daripada Ustaz Salehuddin Nasir pada tahun 2003.

Majlis perasmian muktamar kali ke 14 ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Rakyat Perak, Yang Berhormat Dato’ Sri Ir Nizar Jamaluddin di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

Seramai 340 orang perwakilan hadir pada muktamar kali ini yang turut menjadi medan para perwakilan menilai dan meluluskan laporan PAS Kawasan Gombak sesi 2008/2009 serta usul-usul.

Para perwakilan turut menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih seramai 18 orang ahli jawatankuasa kerja (AJK) PKG yang baru bagi sesi 2009 – 2011, serta perwakilan ke Muktamar PAS Pusat akan datang.

TRANSFORMASI Gombak

Muktamar PAS Kawasan Gombak kali ke 14, pada 26 April 2009, menyaksikan proses transformasi berlangsung dalam suasana yang penuh aman dan harmoni selepas penarikan diri Dr Hatta Ramli daripada pencalonan untuk merebut jawatan Yang Di-Pertua (YDP) PAS Kawasan Gombak (PKG) sekali gus memberi laluan mudah kepada Ustaz Salehuddin Nasir untuk menerajui PAS kawasan itu untuk sesi tahun 2009 – 2011.

Pengumuman yang dibuat oleh Dr Hatta di dalam ucapan alu-aluan Majlis Perasmian Muktamar PKG ternyata membuatkan para perwakilan terkejut dan meneruskan tradisi PKG yang tidak pernah menyaksikan pertandingan untuk jawatan-jawatan tertinggi peringkat kawasan itu.

Majlis perasmian muktamar kali ke 14 ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Rakyat Perak, Yang Berhormat Dato’ Sri Ir Nizar Jamaluddin di Dewan Dato’ Fadzil Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar.

Dengan terlantiknya Ust Salehuddin Nasir sebagai YDP PAS Gombak sesi 2009-2011 maka lengkaplah transformasi PAS Gombak yang dimulakan oleh Dewan Muslimat PAS Gombak pada 12 April 2009, dan Dewan Pemuda PAS Gombak seminggi kemudiannya.

Di dalam mesyuarat agung Dewan Muslimat, pemilihan sengit berlangsung apabila menyaksikan pemilihan tiga penjuru yang akhirnya transformasi berlaku apabila keputusan berpihak kepada Dr Uzaimah Ibrahim yang mendapat mandat baru sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Gombak.

Manakala di peringkat Dewan Pemuda PAS Gombak, sebagaimana di peringkat, transformasi berlangsung dengan suasana yang penuh harmoni apabila kesemua jawatan penting termasuk AJK tidak berlaku pertandingan.

Semoga transformasi ini bukan sekadar retorik semata-mata.

Ayuh bulatkan tekad, kukuhkan ukuhwah!

Allahuakbar!!


Antara saf kepimpinan PKG.


Ketua Pemuda PAS Gombak, Ust Syarhan Humaizi bersama saf kepimpinan PKG mendengar amanat yang disampaikan oleh mantan YDP Dr Hatta Ramli.



Mantan YDP, Dr Hatta Ramli sedang memberikan ucapan penggulungan.


Kemesraan antara mantan YDP dan YDP.


Kemesraan antara mantan YDP dan YDP.


YDP PAS Gombak yang baru, Ustaz Salehuddin Nasir sedang menyampaikan ucapan penangguhan di penghujung muktamar.

Sunday, April 26, 2009

Pilihan Raya Kecil Penanti 31 Mei

KUALA LUMPUR, 27 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.

"SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 17 April berhubung dengan kekosongan kerusi bahagian pilihan raya N.12 Penanti berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin melalui suratnya bertarikh 19 Mac 2009.

"Sehubungan ini, setelah meneliti pemakluman oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang serta salinan surat peletakan jawatan oleh ADUN berkenaan yang dilampirkan bersama pemakluman tersebut maka SPR dengan ini bersetuju bahawa kerusi bahagian pilihan raya DUN N.12 Penanti adalah disahkan kosong berkuat kuasa 17 April lalu," katanya pada sidang akhbar yang dipetik Bernama di sini hari ini.

Mohammad Fairus, 33, daripada KeADILan mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, Mohammad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Abdul Aziz berkata Daftar Pemilih yang akan digunakan pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemaskini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, katanya 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.

SUMBER : HARAKAHDAILY.NET

Wednesday, March 4, 2009

Usrah Gabungan DUN Gombak Setia

Baru-baru ini Usrah Gabungan Dun Gombak Setia telah diadakan di MTD Gombak Setia . Naqib jemputan usrah gabungan ini adalah Ust Idris Ahmad, AJK Pas Pusat. Hampir 60 org ahli cawangan, pemuda & Halwa hadir. Semoga Usrah ini dapat memberi tarbiyah dalam diri setiap ahli yang hadir




Monday, February 23, 2009

Taklimat Perundangan Krisis DUN Perak



17 Feb - PAS Kawasan Gombak telah menganjurkan satu siri penerangan khusus membincangkan kemelut politik dan perlembagaan di Perak dari kacamata perundangan. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh peguam PAS, Sdr Hanipa Maidin yang juga merupakan AJK PAS Pusat.

Hampir 200 orang dari kalangan pimpinan PAS Cawagan, Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Gombak hadir mendengar taklimat tersebut yang diadakan di Dewan Kompleks Sukan Seri Siantan, Batu Caves.

Salah satu tujuan program tersebut diadakan ialah bagi memastikan kepimpinan mendapat maklumat yang betul dan mampu menguasai isu khususnya berkaitan kemelut politik dan perundangan yang berlaku di Perak.

Thursday, February 12, 2009

Al Fatihah Buat YB Roslan Shaharum




















"Begitu juga kita tidak memusuhi anggota keselamatan jikalau kita memerintah Malaysia mereka juga berkhidmat dengan kerajaan rakyat"

- Al Marhum YB Roslan Shaharum.

Nama :

YB Roslan Shaharum
( 50 tahun )
Jasa:
1.Ahli Parlimen Bukit Gantang
2.Perak
Pengerusi yayasan Perak
3.Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak
4.Pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Punca kematian:

Allahyarham diserang sakit jantung

Waktu kembali ke hadrat Allah:

12 tengah hari

Tempat tinggal:
Changkat Larang, Batu Gajah

Keluarga:

Isteri Puan Safiah bt. Harun bersama 11 orang anak

Kejayaan manis dalam PAS:

Mengalahkan bendahari Umno, Datuk Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi.
Allahyarham YB Roslan mendapat 20,015 undi manakala Abdul Azim menerima 18,449 undi. Manakala calon bebas, M Morgan mendapat 872 undi.

Kenyataan Rasmi YAB Dato' Seri MB Perak

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi. Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat. Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.
Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya.

Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.