Thursday, February 5, 2009

Pemimpin Pas berdisiplin

GOMBAK – Kemelut yang melanda Kerajaan negeri Perak kelmarin, termasuk isu melompat parti sebelum ini membuktikan pemimpin Pas mempunyai kesetiaan tinggi terhadap perjuangan parti.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohammed Ali berkata, Pas tidak pernah terlibat dalam kes melompat parti, keluar parti mahupun menghilangkan diri seperti dalam kes baru-baru ini kerana pemimpin parti itu mempunyai tahap disiplin tinggi termasuk kesetiaan mereka terhadap perjuangan mereka.

“Bukan saya kata yang lain tidak mempunyai disiplin tetapi melalui senario hari ini jelas menunjukkan orang Pas tidak bermasalah dan tidak terlibat dalam isu lompat parti kerana adanya sikap taat setia serta tatasusila yang tinggi,” katanya.

Menurut Dr Hassan, kemelut yang melanda Perak juga dianggap sebagai mainan politik UMNO dan merupakan gendang-gendang sebelum pemilihan UMNO pada 28 Mac depan di mana masing-masing mahu menjadi juara.

“Penerimaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak nampak layu dan longlai, semangat roh untuk menerima beliau sebagai Perdana Menteri sama ada dalam UMNO ataupun luar UMNO nampak goyang dan itu salah satu sebab berlakunya kemelut di Perak,” katanya.

Menurutnya, Perak dianggap sebagai tempat yang strategik bagi UMNO untuk menonjolkan imej masing-masing dan sebagai kempen besar untuk Mac depan.

“Tempat yang paling cantik dan sesuai untuk menonjolkan imej masing-masing termasuk untuk kempen-kempen besar bagi pemilihan UMNO pada Mac depan adalah negeri perak memandangkan majoriti Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak jauh bezanya,” katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada majlis penyerahan borang keahlian cawangan baru Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia di Dewan Orang Ramai Kampung Kerdas 4 di sini, malam semalam.

Antara Cawangan Pas yang ditubuhkan termasuk Cawangan Siantan Sri Gombak Indah, Taman Bolton, Gombak Utara Bandar, Kampung Tengah, Batu 7, Batu 8, Batu 11 Gombak, Desa Mukmin, Kampung Seri Makmur dan Taman Seri Gombak Fasa 7.

Dalam masa yang sama turut diadakan penyerahan borang keahlian Kelab Penyokong Pas oleh Ketua Cawangannya Lo Kim Fong.

Menurutnya, keadaan yang berlaku di Perak sukar untuk berlaku di Selangor kerana majoriti yang dimenangi PR 12 kerusi berbanding BN, begitu juga dengan Kedah.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berharap lebih banyak cawangan-cawangan baru dapat ditubuhkan di kawasan ini bagi memantapkan lagi jentera pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, yang ditemui pada majlis tersebut berpendapat, Perak perlu mengadakan pilihan raya semula dan sekiranya BN mengambil alih tidak mustahil masalah seperti ini akan berulang lagi dan berterusan.

“Sebaik-baiknya mengadakan pilihan raya semula untuk memberi hak kepada rakyat menentukan segalanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment